FAQ

Siapakah Sabah Credit Corporation (SCC) / Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS)?

SCC atau PPS adalah satu (1) Badan Berkanun Kerajaan Negeri Sabah di bawah Kementerian Kewangan Negeri. Ia ditubuhkan pada 15 Jun 1955 dan bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk Malaysia di Negeri Sabah melalui fasiliti kemudahan kewangan.

SCC mendapat sumber kewangan melalui pinjaman daripada Kerajaan Negeri, bank, institusi kewangan dan pasaran modal dengan kadar tertentu dan semasa untuk melaksanakan mandat yang diberikan dengan menyediakan kemudahan pinjaman atau pembiayaan kewangan kepada pelanggannya. Kesemua kos operasi, termasuk gaji kakitangan, faedah pinjaman dan sebagainya adalah ditanggung sendiri oleh SCC.

Pada masa ini SCC mempunyai 169 kakitangan yang ditempatkan di 13 buah Pusat Pelanggan Daerah (Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Alamesra (KK), UTC Sabah (KK), Papar, Beaufort, Tenom dan Keningau), Pengurusan UTC Sabah (KK) dan di Ibu Pejabat (Penampang).

Sejak beroperasi 65 tahun yang lalu, SCC telah banyak membantu Kerajaan dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri yang meliputi sektor pembangunan, industri pembinaan, peladangan, perniagaan, penternakan, pengangkutan dan sebagainya melalui pinjaman dan pembiayaan kewangan yang diberikan. Disamping itu SCC juga telah membayar berjuta-juta ringgit cukai pendapatan kepada Kerajaan Persekutuan, dividen kepada Kerajaan Negeri, faedah pinjaman kepada Kerajaan dan institusi kewangan beserta zakat.

Selain daripada menyediakan kemudahan pinjaman atau pembiayaan kewangan, SCC juga melaksanakan program amal melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu mereka yang memerlukan dan tidak layak mendapat kemudahan pinjaman atau pembiayaan kewangan. Golongan ini adalah terdiri daripada kanak-kanak, wanita, OKU, warga emas dan penuntut IPT yang memerlukan tempat latihan perindustrian.

Mengapakah SCC tidak menawarkan moratorium enam (6) bulan kepada pelanggannya seperti yang diarahkan kepada bank-bank oleh Bank Negara Malaysia (BNM)?

SCC tidak menawarkan moratorium enam (6) bulan kepada pelanggannya setelah menimbang perkara-perkara berikut:

  1. Peningkatan beban kewangan yang akan ditanggung oleh pelanggan selepas moratorium untuk membayar balik pembayaran yang ditangguh.
  2. Bagi penjawat awam:
    • Peraturan-peraturan kerajaan dan peraturan-peraturan lain seperti had potongan gaji dan umur persaraan peminjam, yang perlu diambil kira dalam penyusunan semula pembayaran balik pinjaman selepas penangguhan.
    • Pembayaran gaji bulanan tidak terjejas, dibayar seperti biasa.
    • Kebajikan penjawat awam Persekutuan diberi keutamaan Kerajaan melalui pemberian bantuan tunai seperti pembayaran RM500 secara 'one-off' kepada lebih 1.5 juta penjawat awam bagi Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak serta lebih 850,000 pesara Kerajaan bermula April 2020. Bagi penjawat awam yang tergolong dalam golongan B40 dan M40, bantuan juga disediakan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di antara RM500 sehingga RM1,600 yang akan dibayar pada bulan April dan Mei 2020. Manakala baki bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibayar pada bulan Julai 2020.
  3. Kesan terhadap operasi dan kedudukan kewangan SCC.
  4. SCC tidak terikat dengan arahan moratorium BNM ini.

Namun demikian, SCC juga mengambil kira kemungkinan sebilangan pelanggan memerlukan lebihan kewangan untuk membantu menampung keperluan kewangan ahli keluarga mereka yang pendapatannya hilang atau terjejas disebabkan pandemik ini. Di samping itu SCC juga mengambilkira keperluan kewangan kepada mereka yang akan merayakan perayaan-perayaan yang akan tiba tidak lama lagi serta perlunya suntikan kewangan yang berterusan ke dalam ekonomi negeri yang dapat membantu untuk terus mengerakkan ekonomi negeri.

Mengapakah SCC menawarkan penangguhan potongan gaji untuk pembayaran semula pembiayaan kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri sahaja?

Tawaran penangguhan potongan gaji untuk membayar semula pembiayaan kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri adalah keputusan dan arahan daripada Kerajaan Negeri yang harus dipatuhi oleh SCC. Namun demikian, SCC juga ada menyediakan kemudahan khas untuk semua pelanggan. Kemudahan khas ini menawarkan lebih banyak keistimewaan daripada apa yang boleh diperolehi melalui penangguhan potongan gaji untuk membayar semula pembiayaan.

Apakah kemudahan yang ditawarkan oleh SCC sebagai usahanya untuk membantu pelanggannya dalam masa kegawatan yang melanda akibat dari pandemik Covid-19 ini?

SCC menyediakan pakej khas SCC We Care untuk semua pelanggannya. Pakej khas ini melibatkan:

  • Kemudahan khas Pembiayaan Semula dengan tawaran istimewa kepada semua pelanggan yang mempunyai pembiayaan peribadi (i-Cash dan i-Executive) dengan tujuan untuk membolehkan pelanggan menyusun semula kedudukan kewangan dan mendapat lebihan tunai untuk dibawa pulang.
  • Menyediakan kemudahan khas pembiayaan peribadi (i-Emas) dengan tawaran istimewa kepada pesara kerajaan yang menerima pencen bulanan.
  • Berbincang dengan pelanggan yang mempunyai masalah dengan pembayaran balik pembiayaan dengan cara penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.

Di samping itu SCC juga akan meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) untuk membantu pihak-pihak dan rakyat yang memerlukan bantuan.

Apakah tawaran istimewa yang terkandung dalam kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC?

Tawaran istimewa yang terkandung dalam kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC adalah:

  • Kadar tahunan yang lebih rendah 3.99% jika dibandingkan dengan kadar sebelumnya 4.5% bagi pembiayaan i-Cash.
  • Kadar tahunan pembiayaan peribadi i-Executive (sektor swasta) diturunkan kepada 4.5%, daripada 6.9%.
  • Potongan gaji untuk pembayaran semula ditangguh selama tiga (3) bulan.
  • Caj pengurusan ‐ Dimansuhkan.
  • Potongan bayaran pendahuluan satu (1) bulan ‐ Dimansuhkan.
  • Premium Takaful bagi pembiayaan yang dijelaskan dibayar kembali pada pelanggan, sekiranya ada.

Di samping itu SCC juga akan meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) untuk membantu pihak-pihak dan rakyat yang memerlukan bantuan.

Apakah pembiayaan yang terlibat dalam kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC?

Pembiayaan peribadi (Personal Financing) 'i-Cash' dan 'i-Executive'.

Apakah kelebihan kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC berbanding dengan penangguhan?

Kelebihan kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC berbanding dengan penangguhan adalah:

  • Pelanggan menikmati kadar tahunan yang lebih rendah, 3.99% untuk tempoh pembiayaan semula, manakala penangguhan kekal dengan kadar 4.5%.
  • Pelanggan mendapat peluang untuk menyusun semula kedudukan kewangan dengan memilih untuk menggunakan kelayakan penuh atau hanya untuk menebus baki pembiayaan sekarang. Penangguhan tidak ada pilihan.
  • Tambahan tunai untuk dibawa balik ('one-off', gaji yang tidak dipotong untuk selama tiga (3) bulan dan pembayaran balik primeum takaful). Penangguhan hanya gaji yang tidak dipotong untuk selama tiga (3) bulan.
  • Tidak ada bayaran lebihan yang diperlukan bila potongan gaji untuk pembayaran pembiayaan semula dilaksanakan. Penangguhan, perlu membayar balik jumlah yang ditangguhkan berdasarkan budibacara SCC.
Bilakah bermulanya pembayaran bulanan bagi kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC?

Tiga (3) bulan selepas pengeluaran kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC. Ini membolehkan pelanggan menikmati tambahan tunai untuk dibawa pulang selama tempoh tiga (3) bulan. Tempoh tiga (3) bulan gaji tidak dipotong ini adalah sama seperti penangguhan potongan gaji selama 3 bulan untuk pembayaran pembiayaan kepada mereka yang menerima tawaran penangguhan tersebut.

Adakah kadar keuntungan atau faedah bulanan dikenakan sepanjang penangguhan tiga (3) bulan bagi mereka yang mengambil kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC?

Ya. Walaubagaimanapun ianya akan ditolak dari jumlah kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC yang dikeluarkan.

Siapakah yang boleh memohon kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC?

Semua yang layak termasuk penjawat awam Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kakitangan GLC dan kakitangan swasta.

Adakah kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC ini hanya ditawarkan kepada pelanggan yang mempunyai akaun di SCC sahaja?

Tidak. Ia terbuka juga untuk pelanggan baru.

Berapa lama kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC ini ditawarkan?

Kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC ini ditawarkan hanya sehingga 30 September 2020.

Apakah akan berlaku selepas tamat tempoh tawaran kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC ini?

Tawaran istimewa yang terkandung dalam kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC ini akan dikaji semula dan diubah mengikut kesesuaian keadaan semasa.

Bagaimanakah saya boleh memohon kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC ini?

Anda boleh memohon secara online melalui aplikasi Sabah Pay. Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Apple Store atau Google Playstore. Anda juga boleh memohon melalui laman sesawang SCC http://www.sabahcredit.com.my.

Bolehkah pelanggan memohon kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC jika pembayaran akaun yang sedia tertunggak lebih tiga (3) bulan?

Ya. Pelanggan yang mempunyai akaun tertunggak dan potongan bulanan yang aktif melalui potongan gaji boleh memohon kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC dengan syarat tunggakan tersebut ditebus menggunakan kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC ini.

Bagi pelanggan SCC yang mempunyai pembiayaan lain daripada pembiayaan peribadi, bagaimana untuk mendapat bantuan jika mempunyai masalah membayar balik pembiayaan?

Anda boleh berhubung terus dengan pejabat SCC yang terdekat dan kakitangan kami akan memberi bimbingan bagaimana untuk mengemukakan cadangan penyelesaian masalah anda kepada SCC.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya pelanggan tidak ingin terlibat dengan penangguhan potongan gaji untuk pembayaran pembiayaan? (Bagi pelanggan yang terlibat sahaja).

Sekiranya anda tidak mahu terlibat dengan penangguhan ini, anda boleh memohon kebenaran secara bertulis atau e-mel terus kepada Jabatan Bendahari Negeri (sebelum 9 April 2020). Alamat e-mel adalah james.gulongon@sabah.gov.my atau zainulariffin.yusof@sabah.gov.my. Alamat e-mel ini adalah khas untuk mengemukakan permohonan sahaja dan bukan untuk pertanyaan mengenai dengan SCC.

Jika anda tidak kesempatan untuk memaklumkan kepada Jabatan Bendahari Negeri, anda juga boleh membayar terus kepada SCC semasa tempoh penangguhan dan maklumkan kepada SCC agar akaun pembiayaan anda dapat dikemaskini dengan setiap pembayaran yang diterima.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda digalakkan untuk membuat pembayaran menggunakan aplikasi kami 'Sabah Pay' atau perbankan internet (internet banking) untuk mengurangkan pergerakan.

Adakah kadar keuntungan/faedah dikenakan kepada pelanggan yang mendapat penangguhan tiga (3) bulan?

Ya. Kadar keuntungan/faedah bulanan yang biasa akan dikenakan kepada akaun pelanggan yang mengambil penangguhan tiga (3) bulan.

Apakah akan berlaku selepas tempoh penangguhan kepada pelanggan yang mengambil penangguhan potongan gaji tiga (3) bulan untuk pembayaran pembiayaan ini?

Pelanggan akan menerima notis tuntutan pembayaran daripada SCC terhadap jumlah yang tertangguh. Jika pelanggan tidak menerima cara jumlah tertangguh perlu dibayar balik, pelanggan boleh berhubung dengan SCC untuk berbincang cara yang bersesuaian untuk semua pihak.

Apakah kemudahan pembiayaan i-Emas dan apakah keistimewaan kemudahan ini?

Kemudahan pembiayaan i-Emas adalah satu kemudahan baru yang diperkenalkan khas untuk pesara kakitangan perkhidmatan awam yang menerima pencen bulanan. Kemudahan ini menawarkan keistimewaan yang terdapat dalam kemudahan khas Pembiayaan Semula SCC, iaitu kadar yang rendah dan sebagainya. Kemudahan ini bertujuan untuk pesara mendapat sumber kewangan untuk menampung keperluan kewangan mereka. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kemudahan ini, hubungilah pejabat SCC yang berdekatan.

Apakah kemudahan lain yang ditawarkan oleh SCC?

Kemudahan lain yang ditawarkan adalah seperti berikut:

  • Skim Pinjaman Belia & Usahawan (YELS) ‐ 3% (kadar tetap).
  • Pinjaman Mikro ‐ Kadar tahunan 0%
  • Pinjaman IKS ‐ Kadar Tahunan 3.5%
  • Pinjaman Projek, Perumahan, Perniagaan dan Mortgage

Sila berhubung dengan pejabat SCC yang berdekatan untuk mendapatkan makluman lanjut mengenai kemudahan-kemudahan ini.

Apakah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SCC?

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SCC adalah program amal dan kebajikan yang disediakan untuk membantu rakyat Malaysia di Sabah yang memerlukan bantuan. Program ini tertumpu kepada golongan kanak-kanak, wanita dan OKU di dalam sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan sumber dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan amal yang lain. Program ini dikendalikan oleh Yayasan Perbadanan Pinjaman Sabah.

Setakat ini, SCC telah membelanjakan lebih kurang RM45 juta untuk perkara-perkara berikut di seluruh Negeri Sabah:

  • Pendidikan
    • 52 asrama desa, 45 dewan terbuka sekolah, 8 bilik darjah, 3 pusat sumber dan bantuan-bantuan lain dalam sektor Pendidikan.
  • Kesihatan
    • 30 unit mesin dialisis dan peralatan-peralatan perubatan kritikal yang lain seperti Mobile Eye Surgical Unit, Electroconvulsive Therapy Machine, Phototherapy Lights dan Transport Incubator untuk bayi.
  • Kebajikan
    • 6 buah Bangunan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), 8 buah rumah anak yatim, 11 buah bangunan dan pusat latihan ibu-ibu tunggal, rumah tumpangan musafir, pusat latihan bagi orang-orang buta serta bantuan-bantuan kebajikan yang lain.
  • Pembangunan Modal Insan
    • 5 Pra-sekolah, pusat belia dan sebagainya

SCC juga menyediakan program-program untuk warga emas dan program latihan industri untuk penuntut-penuntut IPT di Malaysia.